Abu Laits
as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia
pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan
Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar
suara.
Maka
salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu
malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki
keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki
berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua;
engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau
putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan
harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan
yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi
itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku
hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan."
Maka
Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk
memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan
diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya
lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan
madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi
itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk
emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas
Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu,
kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula.
Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka
berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun
meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas
itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia
sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang
mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu
berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar
rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung
itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas
burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai
Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi
tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu
teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak
boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan
perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya
lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu.
Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi
dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas
kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia
bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun
bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan
hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah
Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia
berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana
yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti
semuanya ini."
Dalam mimpi
beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau
makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi
pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka
marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua;
semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan
nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah
kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka
usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri
berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal
seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul
membuat ghibah."
Saudara-saudaraku,
kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab
kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita
sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah
mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal
orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu
akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di
akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang
tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah,
sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di
dunia dulu."
Maka berkata
Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang
dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita
kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita
sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang
walaupun ia benar.
No comments:
Post a Comment
terimakasih komentarnya,, disarankan komentar sopan, dan setiap komentar ditanggung sendiri-sendiri